Malaysia perlu kekal merdeka - PM

Malaysia perlu kekal merdeka dan berdaulat dengan seluruh rakyat aman, sejahtera serta sentosa selama-lamanya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, ini kerana ia adalah nikmat besar kepada Malaysia, selari dengan nasihat bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam pemahsyuran kemerdekaan, pada 63 tahun lalu.
Perisytiharan itu, katanya, membuka lembaran baharu kepada tanah air sebagai negara merdeka, bebas dan berdaulat, selain mendapat kembali hak sebagai bangsa bermaruah, selepas dijajah selama ratusan tahun.
"Kita dapat menentukan nasib diri kita, bangsa kita dan negara kita sendiri tanpa dibelenggu oleh mana-mana kuasa lain.
"Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara saudari semua. Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. Kita mesti pelihara keamanan negara kita.
"Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat. Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya," katanya dalam Perutusan Khas Hari Kebangsaan Ke-63 di sini, hari ini.