Palestin rakam penghargaan, berterima kasih kepada Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan Palestin berterima kasih kepada Malaysia atas kerjasama diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi membantu mencari kaedah terbaik menangani pandemik COVID-19 di negara itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri yang menerima kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, di pejabat beliau di bangunan Parlimen, hari ini, berkata Kerajaan Palestin turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan kit kesihatan yang dihantar ke negara berkenaan, Mei lalu.
Beliau memaklumkan, langkah itu bermula selepas Menteri Kesihatan kedua-dua negara mengadakan sidang video bagi membincangkan kerjasama berkenaan, baru-baru ini.
"Dalam pertemuan saya dengan Duta Besar, kami membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Palestin.
"Ia termasuk peranan yang boleh dimainkan kedua-dua pihak dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin, daripada sebarang bentuk penindasan," katanya melalui akaun Facebook beliau, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan, hubungan akrab kedua-dua negara terus diperkukuh dan Kerajaan Malaysia kekal dengan komitmen menyokong serta memperjuangkan hak Palestin di pentas dunia.
"Walid juga mengambil maklum, Malaysia berpendirian tegas dalam membawa suara dan hak Palestin di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) serta organisasi antarabangsa lain.
"Pertemuan ini adalah kali pertama sejak saya dilantik sebagai Perdana Menteri. Duta Besar turut menyerahkan perutusan terima kasih dan ucapan Hari Raya Aidiladha daripada Presiden Mahmoud Abbas kepada saya," katanya. – BERNAMA
